1 Samuel 18:9-21 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Sejak hari itu Raja Saul iri hati terhadap Daud.

10. Keesokan harinya, Raja Saul berada di dalam rumah dan sedang memegang tombak. Tiba-tiba Raja Saul dirasuki roh jahat yang disuruh Allah, sehingga baginda mengamuk seperti orang gila. Pada masa itu Daud sedang bermain kecapi seperti biasa.

11. “Aku tancapkan dia ke tembok itu,” fikir Raja Saul, lalu baginda melemparkan tombak ke arah Daud sampai dua kali, tetapi Daud berjaya mengelakkannya.

12. Raja Saul takut akan Daud kerana TUHAN menyertai Daud, tetapi TUHAN sudah meninggalkan Raja Saul.

13. Maka Raja Saul memindahkan Daud dari lingkungan istana dengan melantiknya menjadi ketua pasukan seribu orang askar. Daud memimpin pasukannya dalam pertempuran,

14. dan dia berjaya melaksanakan segala tugasnya kerana TUHAN menyertai dia.

15. Raja Saul memperhatikan kejayaan Daud, dan hal itu menjadikannya bertambah takut akan Daud.

16. Tetapi semua penduduk Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dia seorang pemimpin yang banyak jasa.

17. Raja Saul merancangkan supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin dalam pertempuran supaya bukan Raja Saul sendiri yang membunuh dia. Oleh itu, pada suatu hari Raja Saul bertitah kepada Daud, “Merab, puteri sulung beta, akan beta jodohkan dengan kamu, asal saja kamu berkhidmat kepada beta sebagai askar yang berani dan taat, serta berperang untuk TUHAN.”

18. Daud menjawab, “Siapakah hamba ini, dan siapakah keluarga bapa hamba di Israel sehingga hamba menjadi menantu raja?”

19. Tetapi apabila tiba masanya Merab dikahwinkan dengan Daud, Merab diserahkan kepada seorang lelaki lain yang bernama Adriel dari kota Mehola.

20. Namun Mikhal, puteri Raja Saul yang lain, jatuh cinta kepada Daud. Apabila Raja Saul mendengar hal itu, baginda pun senang hati.

21. Raja Saul berfikir, “Aku akan memberikan Mikhal kepada Daud supaya Daud terperangkap dan dibunuh oleh orang Filistin.” Maka untuk kali yang kedua, Raja Saul bertitah kepada Daud, “Sekarang kamu akan menjadi menantu beta.”

1 Samuel 18