1 Samuel 17:4-15 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter.

5. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa.

6. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa.

7. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya.

8. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku.

9. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami.

10. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!”

11. Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan.

12. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua.

13. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama.

14. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul,

15. Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya.

1 Samuel 17