21. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur.
22. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka.
23. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu.
24. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan.
25. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.”
26. Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!”
27. Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat.
28. Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?”
29. “Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud.
30. Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama.
31. Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap.
32. Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.”
33. “Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.”
34. Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba,
35. hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati.
36. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup.
37. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.”“Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.”