1 Samuel 15:20-34 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Raja Saul menjawab, “Beta sudah mentaati perintah TUHAN, dan pergi berperang menurut perintah-Nya; Raja Agag, raja Amalek sudah beta tawan dan semua orang Amalek dibunuh.

21. Tetapi anak buah beta tidak membunuh semua ternakan; mereka sudah memilih domba dan lembu yang paling gemuk, dan membawa semuanya ke Gilgal untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan.”

22. Samuel berkata, “Manakah yang lebih disukai TUHAN, ketaatan atau persembahan dan korban? Lebih baik taat kepada TUHAN daripada mempersembahkan domba yang paling gemuk kepada-Nya.

23. Memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan melakukan sihir, dan hati yang sombong sama jahatnya dengan penyembahan berhala. Oleh sebab tuanku menolak perintah TUHAN, TUHAN pun menolak tuanku sebagai raja.”

24. Mendengar kata-kata itu Raja Saul bertitah kepada Samuel, “Memang beta sudah berdosa. Beta sudah melanggar perintah TUHAN dan mengabaikan nasihat tuan. Beta takut kepada anak buah beta, lalu beta mengabulkan permintaan mereka.

25. Tetapi sekarang beta mohon supaya dosa beta diampunkan, dan kembalilah bersama-sama beta ke Gilgal, supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN.”

26. Tetapi Samuel menjawab, “Hamba tidak mahu kembali bersama-sama tuanku. Tuanku sudah menolak perintah TUHAN, dan sekarang Dia menolak tuanku sebagai raja Israel.”

27. Selepas itu Samuel berpaling hendak pergi, tetapi Raja Saul menahan dia dengan memegang jubahnya, sehingga jubah itu koyak.

28. Oleh itu Samuel berkata kepada Raja Saul, “Pada hari ini juga TUHAN sudah mengoyakkan kerajaan Israel daripada tuanku dan memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada tuanku.

29. Allah yang mulia, Allah Israel itu tidak berdusta dan tidak pula mengubah pendirian-Nya, kerana Dia bukan manusia.”

30. Raja Saul menjawab, “Beta sudah berdosa. Tetapi tolonglah, kembalilah bersama-sama beta supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN, Allah tuan. Dengan demikian tuan menghormati beta di depan para pemimpin rakyat dan semua orang Israel.”

31. Oleh itu Samuel kembali bersama-sama Raja Saul ke Gilgal, lalu Raja Saul beribadat kepada TUHAN.

32. Selepas itu Samuel memberikan perintah, “Bawalah Raja Agag ke mari.” Raja Agag dihadapkan kepadanya, dan Raja Agag gementar ketakutan kerana baginda berfikir, “Alangkah pahitnya kematian.”

33. Kemudian Samuel berkata, “Seperti pedangmu sudah menyebabkan banyak ibu kehilangan anak, demikian juga ibumu akan kehilangan anaknya.” Lalu Samuel memotong-motong Raja Agag di depan mazbah di Gilgal.

34. Kemudian Samuel pulang ke Rama dan Raja Saul pulang ke rumahnya di Gibea.

1 Samuel 15