1 Samuel 15:13-26 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Apabila Samuel menemui Raja Saul, Raja Saul bertitah kepadanya, “Semoga TUHAN memberkati Samuel. Beta sudah melaksanakan perintah TUHAN.”

14. Samuel bertanya kepadanya, “Jika demikian, mengapa hamba mendengar lembu melenguh dan domba mengembik?”

15. Raja Saul menjawab, “Anak buah beta merampas ternakan itu daripada orang Amalek. Domba dan lembu yang paling gemuk sudah diambil oleh anak buah beta untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan. Tetapi binatang selebihnya sudah kami binasakan sama sekali.”

16. Mendengar hal itu Samuel berkata, “Tunggu dulu, dengarlah firman TUHAN yang disampaikan-Nya kepada hamba malam tadi.”“Katakanlah,” jawab Raja Saul.

17. Samuel berkata, “Bukankah tuanku sudah menjadi pemimpin semua suku Israel, meskipun tuanku menganggap diri tidak penting? TUHAN sudah memilih tuanku menjadi raja Israel,

18. dan Dia sudah memerintah tuanku untuk membunuh orang Amalek yang jahat. Tuanku disuruh-Nya berperang melawan mereka sampai mereka dibunuh semuanya.

19. Mengapakah tuanku tidak taat kepada-Nya? Mengapa tuanku bergegas-gegas menjarah harta mereka dan melakukan yang tidak dikehendaki TUHAN?”

20. Raja Saul menjawab, “Beta sudah mentaati perintah TUHAN, dan pergi berperang menurut perintah-Nya; Raja Agag, raja Amalek sudah beta tawan dan semua orang Amalek dibunuh.

21. Tetapi anak buah beta tidak membunuh semua ternakan; mereka sudah memilih domba dan lembu yang paling gemuk, dan membawa semuanya ke Gilgal untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN, Allah tuan.”

22. Samuel berkata, “Manakah yang lebih disukai TUHAN, ketaatan atau persembahan dan korban? Lebih baik taat kepada TUHAN daripada mempersembahkan domba yang paling gemuk kepada-Nya.

23. Memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan melakukan sihir, dan hati yang sombong sama jahatnya dengan penyembahan berhala. Oleh sebab tuanku menolak perintah TUHAN, TUHAN pun menolak tuanku sebagai raja.”

24. Mendengar kata-kata itu Raja Saul bertitah kepada Samuel, “Memang beta sudah berdosa. Beta sudah melanggar perintah TUHAN dan mengabaikan nasihat tuan. Beta takut kepada anak buah beta, lalu beta mengabulkan permintaan mereka.

25. Tetapi sekarang beta mohon supaya dosa beta diampunkan, dan kembalilah bersama-sama beta ke Gilgal, supaya beta dapat beribadat kepada TUHAN.”

26. Tetapi Samuel menjawab, “Hamba tidak mahu kembali bersama-sama tuanku. Tuanku sudah menolak perintah TUHAN, dan sekarang Dia menolak tuanku sebagai raja Israel.”

1 Samuel 15