1 Samuel 14:43-52 Alkitab Berita Baik (BM)

43. Raja Saul bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah engkau lakukan?”Yonatan menjawab, “Saya telah makan sedikit madu yang saya ambil dengan hujung tongkat saya. Saya bersedia untuk mati.”

44. Raja Saul bertitah kepadanya, “Biarlah beta dihukum Allah jika engkau tidak dihukum mati, Yonatan!”

45. Tetapi rakyat berkata kepada Raja Saul, “Haruskah Yonatan dihukum mati? Bukankah dia yang sudah mendapat kemenangan yang besar ini? Kami berjanji demi TUHAN yang hidup, bahawa seutas rambut Yonatan pun tidak akan diusik! Dengan pertolongan TUHAN, dia telah mendapat kemenangan pada hari ini.” Demikianlah rakyat menyelamatkan Yonatan daripada hukuman mati.

46. Selepas itu, Raja Saul berhenti mengejar orang Filistin. Orang Filistin pun pulang ke wilayah mereka sendiri.

47. Setelah Raja Saul menjadi raja Israel, baginda berperang dengan semua musuhnya di mana-mana: orang Moab, Amon, dan Edom; raja negeri Zoba dan orang Filistin. Di mana sahaja Raja Saul berperang, baginda selalu menang.

48. Raja Saul berperang dengan gagah berani, bahkan orang Amalek pun dikalahkannya; Raja Saul membebaskan Israel daripada perompak.

49. Putera-putera Raja Saul ialah Yonatan, Yiswi, dan Malkisua. Puteri sulung Raja Saul bernama Merab, dan puteri yang kedua bernama Mikhal.

50. Isteri Raja Saul ialah Ahinoam anak Ahimaas; panglima tentera Raja Saul ialah saudara sepupunya, Abner anak Ner. Ner ialah bapa saudara Raja Saul.

51. Kish, ayahanda Raja Saul dan Ner, bapa Abner, ialah anak-anak Abiel.

52. Seumur hidup Raja Saul, baginda berperang dengan sengit melawan orang Filistin. Oleh itu bila sahaja baginda nampak orang yang kuat atau berani, baginda akan segera menjadikan orang itu anggota tenteranya.

1 Samuel 14