14. Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar.
15. Kejadian itu menggemparkan semua orang Filistin di kawasan luar bandar; pasukan perompak dan askar Filistin di perkhemahan gementar ketakutan; bahkan bumi pun bergegar, dan terjadilah keadaan kacau-bilau.
16. Sementara itu tentera Raja Saul yang berkawal di Gibea, di wilayah Benyamin nampak orang Filistin berlari dengan kebingungan.
17. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada tenteranya, “Hitunglah askar kita dan periksalah siapa yang tidak ada.” Apabila mereka berbuat demikian, mereka mendapati bahawa Yonatan dan pemuda pembawa senjatanya tidak ada di situ.
18. Raja Saul bertitah kepada Imam Ahia, “Bawalah efod itu ke mari.” (Pada hari itu Imam Ahia membawa efod di hadapan orang Israel).
19. Ketika Raja Saul masih bertitah kepada imam itu, keadaan di perkhemahan orang Filistin semakin gempar. Oleh itu Raja Saul bertitah kepadanya, “Kita tidak sempat lagi untuk minta petunjuk daripada TUHAN!”
20. Kemudian Raja Saul dan tenteranya mara ke medan pertempuran. Di situ mereka nampak orang Filistin dalam keadaan kacau-bilau; mereka saling menyerang dan membunuh.
21. Beberapa orang Ibrani yang tinggal di daerah orang Filistin dan yang sudah mengikut tentera mereka, bertukar haluan semula lalu bergabung dengan Raja Saul dan Yonatan.
22. Orang Israel yang bersembunyi di perbukitan Efraim juga mendengar bahawa orang Filistin sudah lari, lalu mereka ikut bergabung dengan Raja Saul dan menyerang orang Filistin.
23. Orang Israel bertempur sepanjang jalan sampai melintasi Bet-Awen. TUHAN menyelamatkan Israel pada hari itu.
24. Pada hari itu orang Israel lemah kelaparan kerana Raja Saul sudah bersumpah demikian, “Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini, sebelum beta membalas dendam terhadap musuh.” Oleh itu tiada sesiapa pun yang makan sepanjang hari itu.
25. Kemudian mereka semua sampai di suatu hutan dan menjumpai banyak sekali madu,
26. tetapi tiada sesiapa pun yang makan madu itu. Mereka takut kena kutuk yang diucapkan oleh Raja Saul.
27. Tetapi Yonatan tidak tahu bahawa ayahandanya sudah mengancam rakyat dengan kutuk itu; maka dia menghulurkan tongkat yang dibawanya, dan mencucukkannya ke dalam sarang madu, serta mengambil madu itu lalu memakannya. Segera dia berasa segar dan bertambah kuat.
28. Kemudian seorang daripada askar itu berkata kepadanya, “Kami semua sudah tidak berdaya kerana lapar. Tetapi ayahanda tuan mengancam kami dan berkata, ‘Terkutuklah orang yang makan apa pun pada hari ini.’ ”
29. Yonatan menjawab, “Alangkah dahsyatnya tindakan ayahandaku terhadap bangsa kita! Lihatlah, keadaanku sekarang jauh lebih baik setelah aku makan sedikit madu.