6. Pada saat itu juga Roh TUHAN akan menguasai kamu, dan kamu akan diberikan sifat baru, lalu kamu akan mengikut mereka menari-nari dan berteriak-teriak.
7. Apabila hal itu terjadi, buatlah apa saja yang kamu rasa baik, kerana Allah menyertaimu.
8. Selepas itu kamu harus pergi ke Gilgal lebih awal daripada saya, dan tunggu di sana selama tujuh hari. Kemudian saya akan datang untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN, serta memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.”
9. Sebaik sahaja Samuel meninggalkan Saul, Allah memberi Saul sifat yang baru. Segala perkara yang diberitahukan Samuel kepadanya berlaku pada hari itu juga.
10. Ketika Saul dan hambanya tiba di Gibea, Saul ditemui oleh sekumpulan orang nabi. Pada saat itu juga Roh Allah menguasai Saul, lalu dia mengikut nabi-nabi itu menari dan berteriak.
11. Orang yang mengenal Saul sejak dahulu, melihat kelakuannya lalu bertanya satu sama lain, “Apakah yang sudah terjadi kepada anak Kish itu? Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?”
12. Kemudian seorang yang tinggal di situ bertanya, “Bagaimana dengan nabi-nabi yang lain itu - pada fikiran kamu siapakah bapa mereka?” Itulah asal mulanya pepatah ini, “Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?”
13. Setelah Saul menari-nari dan berteriak-teriak, dia pergi ke mazbah di atas bukit.
14. Bapa saudara Saul nampak Saul dan hambanya, lalu bertanya kepada mereka, “Dari manakah kamu?”“Kami pergi mencari keldai yang hilang,” jawab Saul. “Tetapi apabila kami tidak dapat mencarinya, kami pergi berjumpa dengan Samuel.”
15. “Apa kata Samuel?” tanya bapa saudaranya.
16. “Katanya, keldai-keldai itu sudah ditemui,” jawab Saul. Tetapi Saul tidak memberitahu bapa saudaranya bahawa Samuel sudah melantik Saul menjadi raja.
17. Kemudian Samuel memanggil umat Israel berkumpul di hadapan TUHAN di Mizpa.
18. Dia berkata kepada mereka, “Demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir, dan membebaskan kamu daripada bangsa itu dan bangsa-bangsa lain yang menindas kamu.
19. Akulah Allah kamu yang melepaskan kamu daripada segala kesengsaraan dan penderitaan. Tetapi sekarang kamu telah menolak Aku, Allah kamu, kerana kamu minta Aku melantik seorang raja bagi kamu. Baiklah, berkumpullah di hadapan-Ku, TUHAN kamu, suku demi suku dan puak demi puak.’ ”
20. Kemudian Samuel menyuruh tiap-tiap suku maju ke depan, lalu suku Benyamin yang terpilih.