1 Samuel 1:4-24 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya.

5. Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya.

6. Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana.

7. Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa.

8. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?”

11. Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.”

12. Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana.

13. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli.

14. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!”

15. Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN.

16. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.”

17. Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.”

18. “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.

19. Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana.

20. Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.”

21. Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas.

22. Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, “Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya.”

23. Elkana berkata, “Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan.” Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu.

24. Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain.

1 Samuel 1