1 Raja-Raja 8:7-21 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya.

8. Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.)

9. Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.

10. Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan.

11. Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka.

12. Kemudian Raja Salomo berdoa,“Ya TUHAN, Engkau telah menempatkan matahari di langit,namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan.

13. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu,sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.”

14. Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Salomo berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka.

15. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian,

16. ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’ ”

17. Raja Salomo bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada TUHAN, Allah Israel.

18. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik,

19. tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’

20. Sekarang TUHAN telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel, dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada TUHAN, Allah Israel.

21. Beta juga telah menyediakan tempat di dalam Rumah TUHAN untuk Tabut Perjanjian yang mengandungi batu perjanjian antara TUHAN dengan nenek moyang kita, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.”

1 Raja-Raja 8