1 Raja-Raja 8:52-66 Alkitab Berita Baik (BM)

52. Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong.

53. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”

54. Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah.

55. Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya,

56. “Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya.

57. Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita.

58. Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita.

59. Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari.

60. Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa TUHAN sahaja Allah, dan tiada yang lain.

61. Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini.”

62. Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada TUHAN.

63. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah TUHAN.

64. Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu.

65. Di Rumah TUHAN itu juga, Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan.

66. Pada hari kelapan, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan TUHAN kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.

1 Raja-Raja 8