1 Raja-Raja 8:44-59 Alkitab Berita Baik (BM)

44. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

45. dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.

46. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh,

47. dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN.

48. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

49. dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka.

50. Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka.

51. Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa.

52. Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong.

53. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”

54. Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah.

55. Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya,

56. “Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya.

57. Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita.

58. Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita.

59. Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari.

1 Raja-Raja 8