1 Raja-Raja 8:37-53 Alkitab Berita Baik (BM)

37. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit,

38. dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini,

39. dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya,

40. supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami.

41-42. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini,

43. dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.

44. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

45. dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.

46. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh,

47. dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN.

48. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

49. dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka.

50. Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka.

51. Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa.

52. Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong.

53. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”

1 Raja-Raja 8