1 Raja-Raja 8:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN.

2. Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim.

3. Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian

4. dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke Rumah TUHAN.

5. Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya.

6. Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah TUHAN, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub.

7. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya.

8. Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.)

9. Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.

10. Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan.

11. Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka.

12. Kemudian Raja Salomo berdoa,“Ya TUHAN, Engkau telah menempatkan matahari di langit,namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan.

13. Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu,sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.”

14. Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Salomo berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka.

15. Raja bertitah, “Terpujilah TUHAN, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian,

16. ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’ ”

1 Raja-Raja 8