1 Raja-Raja 22:30-41 Alkitab Berita Baik (BM)

30. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian kebesaran.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.

31. Raja negeri Siria telah memerintah tiga puluh dua orang panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel.

32. Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak,

33. mereka sedar bahawa baginda bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda.

34. Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” teriak Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!”

35. Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Darah mengalir dari lukanya, sehingga membasahi lantai kereta kuda baginda. Pada petangnya baginda mangkat.

36. Menjelang matahari terbenam, segenap tentera Israel diperintahkan pulang ke kota dan daerah masing-masing.

37. Demikianlah Raja Ahab mangkat. Jenazahnya dibawa ke Samaria lalu dimakamkan.

38. Kereta kudanya dicuci di kolam Samaria, tempat anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi, tepat seperti yang difirmankan TUHAN.

39. Segala perbuatan Raja Ahab, termasuk kisah istana yang dihiasi gading dan kota-kota yang dibinanya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

40. Dengan kemangkatan Raja Ahab, puteranya Ahazia, menggantikan baginda sebagai raja.

41. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Ahab di Israel, Raja Yosafat, putera Raja Asa menjadi raja Yehuda.

1 Raja-Raja 22