1. Selama dua tahun tidak ada peperangan antara Israel dengan Siria.
2. Tetapi pada tahun ketiga, Raja Yosafat dari Yehuda menemui Raja Ahab dari Israel.
3. Raja Ahab bertanya kepada para pegawainya, “Mengapakah kita masih belum berbuat apa-apa untuk merampas semula kota Ramot di Gilead daripada raja negeri Siria? Ramot milik kita!”
4. Raja Ahab bertanya kepada Raja Yosafat, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?”Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga askar dan pasukan berkuda beta.
5. Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”
6. Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Raja Ahab bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah,” jawab mereka. “TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
7. Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
8. Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.”
9. Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.