5. Isterinya Izebel menghampirinya dan bertanya, “Mengapa tuanku begitu kesal dan tidak mahu makan?”
6. Raja Ahab menjawab, “Beta tidak suka dengan Nabot. Beta hendak membeli ladang anggurnya dan beta sudah menawarkan wang kepadanya, atau mengganti ladang itu dengan ladang anggur yang lain, tetapi Nabot tidak mahu memberikannya kepada beta!”
7. Izebel berkata, “Bukankah tuanku raja? Bangunlah, bersukacitalah dan makanlah. Hamba akan mendapatkan ladang anggur Nabot bagi tuanku!”
8. Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat, menandatanganinya atas nama Raja Ahab dan memeteraikannya dengan meterai raja, lalu mengirimnya kepada beberapa orang pegawai dan pemimpin kota Yizreel.
9. Inilah kandungan surat itu: “Isytiharkanlah puasa, kumpulkanlah rakyat dan berikanlah satu tempat duduk yang terhormat kepada Nabot.
10. Kemudian suruhlah dua orang jahat duduk menghadap Nabot dan menuduh dia bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Setelah itu bawalah dia ke luar kota dan rejamlah dia sampai mati.”
11. Para pegawai dan pemimpin rakyat Yizreel melaksanakan perintah Izebel.
12. Mereka mengisytiharkan puasa, lalu mengumpulkan rakyat dan memberi Nabot satu tempat duduk yang terhormat.
13. Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati.
14. Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel.