2. Pada suatu hari Raja Ahab bertitah kepada Nabot, “Berilah beta ladang anggurmu, kerana ladang itu dekat istana beta. Beta hendak menggunakannya sebagai kebun sayur. Beta akan menggantinya dengan ladang anggur yang lebih baik. Atau jika kamu suka, beta akan membayarnya dengan harga yang berpatutan.”
3. Tetapi Nabot menjawab, “Ladang anggur ini pusaka nenek moyang hamba. Demi TUHAN, hamba tidak boleh memberikannya kepada tuanku!”
4. Raja Ahab pulang dengan hati yang kesal dan murka kerana perkataan Nabot itu. Raja Ahab berbaring di tempat tidur, menghadap tembok dan tidak mahu makan.
5. Isterinya Izebel menghampirinya dan bertanya, “Mengapa tuanku begitu kesal dan tidak mahu makan?”
6. Raja Ahab menjawab, “Beta tidak suka dengan Nabot. Beta hendak membeli ladang anggurnya dan beta sudah menawarkan wang kepadanya, atau mengganti ladang itu dengan ladang anggur yang lain, tetapi Nabot tidak mahu memberikannya kepada beta!”
7. Izebel berkata, “Bukankah tuanku raja? Bangunlah, bersukacitalah dan makanlah. Hamba akan mendapatkan ladang anggur Nabot bagi tuanku!”
8. Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat, menandatanganinya atas nama Raja Ahab dan memeteraikannya dengan meterai raja, lalu mengirimnya kepada beberapa orang pegawai dan pemimpin kota Yizreel.
9. Inilah kandungan surat itu: “Isytiharkanlah puasa, kumpulkanlah rakyat dan berikanlah satu tempat duduk yang terhormat kepada Nabot.
10. Kemudian suruhlah dua orang jahat duduk menghadap Nabot dan menuduh dia bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Setelah itu bawalah dia ke luar kota dan rejamlah dia sampai mati.”
11. Para pegawai dan pemimpin rakyat Yizreel melaksanakan perintah Izebel.
12. Mereka mengisytiharkan puasa, lalu mengumpulkan rakyat dan memberi Nabot satu tempat duduk yang terhormat.
13. Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati.
14. Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel.
15. Sebaik sahaja Izebel menerima berita itu, dia berkata kepada Raja Ahab, “Nabot sudah mati. Sekarang pergilah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepada tuanku.”
16. Ketika itu juga Raja Ahab pergi untuk memiliki ladang anggur itu.
17. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, nabi dari Tisbe itu,
18. “Pergilah kepada Raja Ahab di Samaria. Engkau akan menemuinya di ladang anggur Nabot. Dia berada di sana untuk mengambil alih ladang itu.
19. Katakanlah kepadanya bahawa Aku, TUHAN berfirman kepadanya, ‘Setelah engkau membunuh pemiliknya, adakah engkau hendak mengambil alih hartanya pula?’ Beritahulah dia bahawa demikianlah firman-Ku, ‘Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ juga darahmu akan dijilat anjing!’ ”