1 Raja-Raja 21:11-24 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Para pegawai dan pemimpin rakyat Yizreel melaksanakan perintah Izebel.

12. Mereka mengisytiharkan puasa, lalu mengumpulkan rakyat dan memberi Nabot satu tempat duduk yang terhormat.

13. Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati.

14. Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel.

15. Sebaik sahaja Izebel menerima berita itu, dia berkata kepada Raja Ahab, “Nabot sudah mati. Sekarang pergilah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepada tuanku.”

16. Ketika itu juga Raja Ahab pergi untuk memiliki ladang anggur itu.

17. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, nabi dari Tisbe itu,

18. “Pergilah kepada Raja Ahab di Samaria. Engkau akan menemuinya di ladang anggur Nabot. Dia berada di sana untuk mengambil alih ladang itu.

19. Katakanlah kepadanya bahawa Aku, TUHAN berfirman kepadanya, ‘Setelah engkau membunuh pemiliknya, adakah engkau hendak mengambil alih hartanya pula?’ Beritahulah dia bahawa demikianlah firman-Ku, ‘Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ juga darahmu akan dijilat anjing!’ ”

20. Apabila Raja Ahab bertemu dengan Elia, baginda bertitah, “Hai musuh, akhirnya engkau berjaya mendapat beta!”“Benar,” jawab Elia. “Perbuatan tuanku jahat semata-mata di sisi TUHAN.

21. Oleh itu TUHAN berfirman kepada tuanku, ‘Aku akan mendatangkan bencana kepadamu. Aku akan menyingkirkan engkau dan semua orang lelaki dalam keluargamu, baik yang muda mahupun yang tua.

22. Keluargamu akan menjadi seperti keluarga Raja Yerobeam anak Nebat, dan seperti keluarga Raja Baesa anak Ahia, kerana engkau telah membangkitkan kemurkaan-Ku serta menyebabkan orang Israel berdosa.’

23. Tentang Izebel, TUHAN berfirman bahawa anjing akan makan mayatnya di kota Yizreel.

24. Sesiapa sahaja anggota keluarga tuanku yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan sesiapa yang mati di padang akan dimakan burung.”(

1 Raja-Raja 21