33. Para pegawai Raja Benhadad memang sedang menunggu tanda baik. Oleh itu apabila Raja Ahab menyebut “saudara,” mereka mengambil peluang itu lalu berkata, “Sebagaimana titah tuanku, Raja Benhadad ialah saudara tuanku!”Raja Ahab memberikan perintah, “Bawalah baginda kepada beta.” Apabila Raja Benhadad tiba, Raja Ahab mengajak Raja Benhadad naik ke kereta kudanya.
34. Raja Benhadad bertitah kepadanya, “Kota-kota yang dahulu direbut oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku, akan beta kembalikan kepada tuanku. Tuanku boleh mendirikan pusat perdagangan di Damsyik seperti yang dahulu didirikan oleh ayahanda beta di Samaria.”Raja Ahab menjawab, “Dengan syarat-syarat ini beta akan membebaskan raja.” Mereka membuat satu persetujuan, lalu Raja Ahab membenarkan Raja Benhadad berangkat.
35. Atas perintah TUHAN, seorang daripada sekumpulan nabi menyuruh seorang nabi lain memukul dia, tetapi nabi itu enggan.
36. Oleh itu nabi yang pertama tadi berkata kepada nabi itu, “Kerana engkau tidak taat kepada perintah TUHAN, seekor singa akan menerkam engkau sebaik sahaja engkau meninggalkan aku.” Maka sebaik sahaja nabi itu pergi, seekor singa menerkam dia.
37. Kemudian nabi yang pertama itu pergi kepada orang lain dan berkata, “Pukullah aku!” Orang ini memukul dia dengan begitu kuat sehingga nabi itu luka.
38. Nabi itu membalut mukanya dengan kain dan menyamar sebagai orang lain. Dia duduk di pinggir jalan dan menantikan raja Israel lalu di situ.
39. Ketika raja lalu, nabi itu memanggilnya dan berkata, “Tuanku, ketika hamba berperang, ada orang membawa seorang tawanan kepada hamba. Orang itu berkata, ‘Jagalah orang ini! Jika dia lari, kamu mesti membayarnya dengan nyawamu, atau didenda sebanyak tiga ribu keping perak.’
40. Tetapi hamba sibuk dengan hal-hal lain, sehingga orang itu lari.”Raja menjawab, “Kamu telah menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri. Oleh itu kamu mesti membayarnya.”
41. Nabi itu mengoyakkan kain yang membalut mukanya, lalu pada saat itu juga raja mengenali dia sebagai seorang nabi.
42. Lalu nabi itu berkata kepada raja, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Oleh sebab orang yang Aku perintahkan supaya dibunuh itu telah engkau biarkan lari, sekarang engkau mesti membayarnya dengan nyawamu sendiri, dan tenteramu akan musnah kerana engkau membiarkan tentera musuh melarikan diri.’ ”
43. Kemudian Raja Ahab pulang ke Samaria dengan hati yang kesal dan murka.