1 Raja-Raja 20:15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Oleh itu raja memanggil semua askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah, jumlahnya 232 orang askar. Setelah itu baginda memanggil pula tentera Israel dan jumlahnya 7,000 orang.

16. Serangan itu bermula pada tengah hari ketika Raja Benhadad dan tiga puluh dua orang raja sekutunya sedang mabuk di perkhemahan mereka.

17. Askar-askar muda itu bertempur dahulu. Apabila pengintip yang disuruh Raja Benhadad melaporkan bahawa ada sepasukan askar datang dari Samaria,

18. Raja Benhadad bertitah, “Tangkaplah mereka hidup-hidup, sama ada mereka datang untuk berperang ataupun untuk berdamai!”

19. Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel,

20. dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda.

21. Raja Ahab juga keluar bertempur dan memusnahkan kuda serta kereta kuda musuh, sehingga orang Siria kalah teruk.

22. Kemudian nabi itu menghadap Raja Ahab dan berkata, “Pulanglah dan perkuatlah semula tentera tuanku. Buatlah perancangan yang baik, kerana pada musim bunga tahun depan, raja negeri Siria akan menyerang tuanku lagi.”

23. Para pegawai Raja Benhadad berkata kepadanya, “Tuhan-tuhan Israel itu tuhan-tuhan gunung. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi kita pasti mengalahkan mereka jika kita bertempur di tanah rata.

24. Sekarang gantikanlah tiga puluh dua orang raja itu dengan panglima.

25. Lalu kumpulkanlah pasukan tentera sebesar pasukan yang meninggalkan tuanku dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang bilangannya sama seperti dahulu. Kita akan menentang tentera Israel di tanah rata, dan pasti kita akan mengalahkan mereka.”Raja Benhadad bersetuju dan menurut nasihat mereka.

26. Pada musim bunga berikutnya, Raja Benhadad mengerah tenteranya dan maju bersama dengan mereka ke Afek untuk menyerang Israel.

27. Tentera Israel juga dikerah dan dilengkapi senjata. Mereka maju, lalu berkhemah dalam dua pasukan yang bertentangan dengan orang Siria. Tentera Israel nampaknya kecil, hanya seperti dua kawanan kambing jika dibandingkan dengan tentera Siria yang membanjiri kawasan itu.

1 Raja-Raja 20