8. “Betul, sayalah Elia,” jawabnya. “Pergilah beritahu raja, tuanmu, bahawa saya berada di sini.”
9. Obaja menjawab, “Apakah kesalahan saya sehingga tuan membahayakan nyawa saya dan menyebabkan saya dibunuh oleh Raja Ahab?
10. Demi TUHAN yang hidup, Allah tuan, saya bersumpah bahawa raja telah mencari tuan di tiap-tiap negeri di bumi ini. Apabila penguasa dari sesuatu negeri melaporkan bahawa tuan tidak ada di negerinya, Raja Ahab meminta supaya penguasa itu bersumpah bahawa tuan tidak ditemui di negerinya.
11. Sekarang tuan mahu saya pergi memberitahu raja bahawa tuan berada di sini.
12. Bagaimanakah jika Roh TUHAN membawa tuan ke tempat lain yang tidak diketahui orang, sebaik saja saya meninggalkan tempat ini? Apabila saya memberitahu raja bahawa tuan berada di sini dan raja tidak dapat mencari tuan, raja akan membunuh saya. Ingatlah, saya sungguh-sungguh beribadat kepada TUHAN sejak saya masih muda.
13. Tidakkah tuan tahu bahawa apabila Izebel membunuh nabi-nabi TUHAN, saya menyembunyikan seratus orang nabi di dalam gua? Saya membahagikan mereka menjadi dua kumpulan, lima puluh orang sekumpulan. Lalu saya memberi mereka makanan dan air minum.
14. Mengapakah tuan menyuruh saya memberitahu raja bahawa tuan berada di sini? Tentu raja akan membunuh saya!”
15. Elia menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Yang Maha Kuasa, yang saya sembah, saya berjanji akan menghadap raja pada hari ini juga.”
16. Oleh itu Obaja pergi memberitahu raja, lalu raja pun berangkat untuk menemui Elia.
17. Apabila Raja Ahab nampak Elia, Raja Ahab bertitah, “Ini dia si pengacau di Israel!”
18. Elia menjawab, “Hamba bukan pengacau. Tuanku dan keluarga tuankulah pengacau itu. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN dan tuanku menyembah berhala Baal.
19. Sekarang perintahlah segenap umat Israel untuk menemui hamba di Gunung Karmel. Bawalah empat ratus lima puluh orang nabi Baal dan empat ratus orang nabi Dewi Asyera yang dibiayai oleh Permaisuri Izebel.”
20. Kemudian Raja Ahab memerintahkan segenap umat Israel dan nabi Baal berkumpul di Gunung Karmel.
21. Elia menghadap umat itu dan berkata, “Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika TUHAN itu Allah, sembahlah TUHAN; tetapi jika Baal itu Allah, sembahlah Baal!” Tetapi umat itu tidak menjawab apa-apa.
22. Lalu Elia berkata, “Nabi TUHAN hanya tinggal saya seorang, sedangkan nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang.
23. Bawalah dua ekor lembu jantan; biarlah nabi-nabi Baal mengambil seekor, menyembelihnya, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan nyalakan api. Saya juga akan berbuat demikian dengan lembu jantan yang seekor lagi.
24. Biarlah nabi-nabi Baal berdoa kepada dewa mereka, dan saya akan berdoa kepada TUHAN. Yang menjawab dengan mengirim api, Dialah Allah.”Dengan suara yang kuat segenap rakyat berseru bahawa mereka bersetuju.
25. Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.”
26. Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan.
27. Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!”