33. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu.
34. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi,
35. sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air.
36. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu.
37. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.”
38. Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering.
39. Apabila umat nampak kejadian itu, mereka bersujud sambil berkata, “TUHAN ialah Allah; TUHAN satu-satunya Allah!”
40. Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka.
41. Kemudian Elia berkata kepada Raja Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.”
42. Sementara Raja Ahab pergi makan, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.
43. Dia berkata kepada hambanya, “Naiklah, lihatlah ke arah laut.”Hamba itu pergi, lalu kembali dan berkata, “Saya tidak nampak apa-apa.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut.
44. Apabila dia kembali pada kali ketujuh, dia berkata, “Saya nampak awan sekecil tapak tangan orang naik dari laut.”Elia menyuruh hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab. Suruhlah baginda mengendarai kereta kudanya dan berangkat pulang, sebelum baginda dihalangi hujan.”
45. Tidak lama kemudian, langit penuh dengan awan hitam dan angin kencang pun mula bertiup, lalu hujan lebat turun. Raja Ahab menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.