1 Raja-Raja 16:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Akhirnya orang yang memihak Omri menang. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja.

23. Maka pada tahun ketiga puluh satu pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Omri menjadi raja Israel. Raja Omri memerintah Israel selama dua belas tahun. Selama enam tahun yang pertama, baginda memerintah di Tirza.

24. Kemudian Raja Omri membeli sebuah bukit daripada seorang yang bernama Semer dengan harga 6,000 keping wang perak. Baginda memperkuat bukit itu dan membina sebuah kota di sana. Raja Omri menamakan kota itu Samaria, mengikut nama Semer, pemilik bukit itu dahulu.

25. Raja Omri berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu.

26. Seperti Raja Yerobeam, yang terdahulu daripadanya, Raja Omri membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, kerana Raja Omri berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa serta menyembah berhala.

27. Segala perbuatan Raja Omri dan kejayaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

28. Raja Omri mangkat dan dimakamkan di Samaria. Ahab, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

29. Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Ahab putera Omri menjadi raja Israel. Raja Ahab memerintah di Samaria selama dua puluh dua tahun.

30. Raja Ahab berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu.

31. Tidak cukup baginya untuk berdosa seperti Raja Yerobeam. Raja Ahab melakukan yang lebih jahat lagi; baginda mengahwini Izebel, puteri Raja Etbaal dari Sidon, dan Raja Ahab juga menyembah Baal.

32. Raja Ahab membina sebuah kuil untuk Baal di Samaria. Baginda juga membina mazbah bagi Baal, lalu meletakkannya di dalam kuil.

33. Raja Ahab juga membuat patung Dewi Asyera. Baginda membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, lebih daripada semua raja Israel yang terdahulu.

1 Raja-Raja 16