1 Raja-Raja 16:15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Zimri memerintah Israel di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu tentera Israel sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin.

16. Apabila mereka mendengar bahawa Raja Zimri telah mengadakan pakatan jahat dan membunuh raja, pada masa itu juga mereka melantik Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja Israel.

17. Omri dan pasukannya meninggalkan Gibeton lalu menyerang Tirza.

18. Apabila Raja Zimri melihat bahawa kota itu telah dikalahkan, baginda masuk ke dalam kubu di sebelah dalam istana. Kemudian baginda membakar istana itu, dan baginda mangkat dalam kebakaran itu.

19. Hal ini berlaku kerana dosa Raja Zimri terhadap TUHAN. Seperti Raja Yerobeam, raja yang terdahulu, Raja Zimri juga membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana dosanya sendiri, dan kerana menyebabkan umat Israel berdosa.

20. Segala perbuatan Raja Zimri, termasuk pakatan jahat yang dilakukannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

21. Orang Israel terbahagi kepada dua pihak; ada yang mahu Tibni anak Ginat menjadi raja, dan ada pula yang mahu Omri menjadi raja.

22. Akhirnya orang yang memihak Omri menang. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja.

23. Maka pada tahun ketiga puluh satu pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Omri menjadi raja Israel. Raja Omri memerintah Israel selama dua belas tahun. Selama enam tahun yang pertama, baginda memerintah di Tirza.

24. Kemudian Raja Omri membeli sebuah bukit daripada seorang yang bernama Semer dengan harga 6,000 keping wang perak. Baginda memperkuat bukit itu dan membina sebuah kota di sana. Raja Omri menamakan kota itu Samaria, mengikut nama Semer, pemilik bukit itu dahulu.

25. Raja Omri berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu.

26. Seperti Raja Yerobeam, yang terdahulu daripadanya, Raja Omri membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, kerana Raja Omri berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa serta menyembah berhala.

27. Segala perbuatan Raja Omri dan kejayaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

1 Raja-Raja 16