1 Raja-Raja 16:10-19 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Zimri masuk ke dalam rumah dan membunuh Raja Ela, lalu menggantikan baginda sebagai raja. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda.

11. Sebaik sahaja Zimri menjadi raja, Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa. Tiap-tiap saudara lelaki dan sahabat Raja Ela dibunuh.

12. Demikianlah Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa, menurut firman TUHAN yang disampaikan oleh Nabi Yehu tentang Raja Baesa.

13. Raja Baesa dan putera baginda, Raja Ela, menyembah berhala dan menyebabkan umat Israel berdosa. Oleh itu mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel.

14. Segala perbuatan Raja Ela tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

15. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Zimri memerintah Israel di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu tentera Israel sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin.

16. Apabila mereka mendengar bahawa Raja Zimri telah mengadakan pakatan jahat dan membunuh raja, pada masa itu juga mereka melantik Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja Israel.

17. Omri dan pasukannya meninggalkan Gibeton lalu menyerang Tirza.

18. Apabila Raja Zimri melihat bahawa kota itu telah dikalahkan, baginda masuk ke dalam kubu di sebelah dalam istana. Kemudian baginda membakar istana itu, dan baginda mangkat dalam kebakaran itu.

19. Hal ini berlaku kerana dosa Raja Zimri terhadap TUHAN. Seperti Raja Yerobeam, raja yang terdahulu, Raja Zimri juga membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana dosanya sendiri, dan kerana menyebabkan umat Israel berdosa.

1 Raja-Raja 16