1. TUHAN berfirman kepada Nabi Yehu anak Hanani, “Sampaikanlah berita ini kepada Raja Baesa,
2. ‘Dahulu engkau bukan sesiapa, tetapi Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Sekarang engkau berdosa seperti Yerobeam, dan menyebabkan umat-Ku juga berdosa. Dosa mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku.
3. Oleh itu Aku akan melenyapkan engkau serta keluargamu, sebagaimana Aku telah memperlakukan Yerobeam.
4. Semua anggota keluargamu yang meninggal di kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung.’ ”
5. Segala perbuatan Raja Baesa, serta kepahlawanan baginda tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
6. Raja Baesa mangkat lalu dimakamkan di Tirza, dan Ela, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja.
7. Firman TUHAN tentang Raja Baesa dan keluarganya itu disampaikan oleh Nabi Yehu, kerana Raja Baesa telah berdosa terhadap TUHAN. Raja Baesa membangkitkan kemurkaan TUHAN, bukan sahaja kerana kejahatan yang dibuatnya seperti yang dilakukan Raja Yerobeam dahulu, tetapi juga kerana pembunuhan yang dilakukannya terhadap semua anggota keluarga Raja Yerobeam.
8. Pada tahun kedua puluh enam pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Ela, putera Raja Baesa menjadi raja Israel. Raja Ela memerintah di Tirza selama dua tahun.
9. Zimri, salah seorang pegawai raja yang mengetuai separuh daripada pasukan berkereta kuda diraja, berkomplot melawan Raja Ela. Pada suatu hari, Raja Ela minum-minum sehingga mabuk di rumah Arza, pengurus istana di Tirza.
10. Zimri masuk ke dalam rumah dan membunuh Raja Ela, lalu menggantikan baginda sebagai raja. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda.
11. Sebaik sahaja Zimri menjadi raja, Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa. Tiap-tiap saudara lelaki dan sahabat Raja Ela dibunuh.
12. Demikianlah Zimri membunuh semua anggota keluarga Raja Baesa, menurut firman TUHAN yang disampaikan oleh Nabi Yehu tentang Raja Baesa.
13. Raja Baesa dan putera baginda, Raja Ela, menyembah berhala dan menyebabkan umat Israel berdosa. Oleh itu mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel.
14. Segala perbuatan Raja Ela tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
15. Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Raja Zimri memerintah Israel di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu tentera Israel sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin.
16. Apabila mereka mendengar bahawa Raja Zimri telah mengadakan pakatan jahat dan membunuh raja, pada masa itu juga mereka melantik Omri, panglima tentera mereka, menjadi raja Israel.