3. Seperti ayahandanya, Raja Abiam juga berdosa dan tidak taat kepada TUHAN, Allahnya. Baginda tidak seperti Raja Daud, moyangnya.
4. Tetapi demi Raja Daud, TUHAN, Allahnya mengurniakan Raja Abiam seorang putera untuk memerintah di Yerusalem selepas Raja Abiam, dan untuk mempertahan kota itu.
5. TUHAN berbuat demikian kerana Raja Daud menyenangkan hati-Nya. Raja Daud tidak pernah melawan perintah TUHAN, kecuali dalam hal Uria, orang Het itu.
6. Selama hayat Raja Abiam, persengketaan yang telah bermula antara Raja Rehabeam dengan Raja Yerobeam masih berlangsung.
7. Segala perbuatan Raja Abiam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
8. Raja Abiam mangkat dan dimakamkan di Kota Daud. Asa, putera Raja Abiam, menggantikan baginda sebagai raja.
9. Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Asa menjadi raja Yehuda,
10. dan memerintah selama empat puluh satu tahun di Yerusalem. Neneknya ialah Maakha keturunan Abisalom.
11. Raja Asa melakukan hal-hal yang diperkenankan TUHAN, seperti yang dilakukan oleh Raja Daud, nenek moyangnya.
12. Semua pelacur lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat penyembahan dewa dibuang negeri; baginda juga menyingkirkan semua berhala yang dibuat oleh raja-raja sebelum baginda.
13. Raja Asa menyingkirkan nenek baginda, Maakha, daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha telah membuat sebuah patung lucah, Dewi Asyera, berhala yang melambangkan kesuburan. Raja Asa merobohkan berhala itu dan membakarnya di Lembah Kidron.
14. Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya.
15. Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya bagi Allah di dalam Rumah TUHAN, demikian juga benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri.
16. Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka.
17. Raja Baesa menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda.
18. Oleh itu Raja Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di Rumah TUHAN dan di istana, lalu dengan perantaraan beberapa orang pegawainya, Raja Asa mengirim semuanya ke Damsyik, kepada Raja Benhadad di Siria. Raja Benhadad ialah anak Tabrimon dan cucu Hezion. Raja Asa mengirim semuanya dengan pesan ini,
19. “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah hubungan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.”
20. Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu mengirim para panglima dan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, Kinerot dekat Tasik Galilea, dan seluruh wilayah Naftali.