18. Oleh itu Raja Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di Rumah TUHAN dan di istana, lalu dengan perantaraan beberapa orang pegawainya, Raja Asa mengirim semuanya ke Damsyik, kepada Raja Benhadad di Siria. Raja Benhadad ialah anak Tabrimon dan cucu Hezion. Raja Asa mengirim semuanya dengan pesan ini,
19. “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah hubungan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.”
20. Raja Benhadad bersetuju dengan cadangan Raja Asa, lalu mengirim para panglima dan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka merebut Iyon, Dan, Abel-Bet-Maakha, Kinerot dekat Tasik Galilea, dan seluruh wilayah Naftali.
21. Apabila Raja Baesa mendengar hal itu, baginda berhenti memperkuat Rama, lalu pergi ke Tirza.
22. Kemudian Raja Asa bertitah kepada segenap penduduk Yehuda dan memerintahkan setiap rakyat, tanpa kecuali, supaya mengangkut batu dan balak yang digunakan oleh Raja Baesa untuk memperkuat kota Rama. Dengan bahan-bahan itu Raja Asa memperkuat kota Mizpa dan Geba, sebuah kota di wilayah Benyamin.
23. Segala perbuatan Raja Asa, kepahlawanan baginda dan kota-kota yang diperkuat oleh baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. Tetapi pada masa tuanya, kaki baginda kena penyakit parah.
24. Raja Asa mangkat lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud. Kemudian Yosafat, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
25. Pada tahun kedua pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Nadab putera Raja Yerobeam menjadi raja Israel. Raja Nadab memerintah Israel selama dua tahun.
26. Seperti ayahandanya dahulu, Raja Nadab juga berdosa terhadap TUHAN, dan menyebabkan Israel berdosa.
27. Baesa anak Ahia daripada suku Isakhar berkomplot untuk menentang Raja Nadab, lalu membunuh baginda. Pada masa itu, Raja Nadab dan tenteranya sedang mengepung kota Gibeton di negeri orang Filistin.
28. Peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga pemerintahan Raja Asa di Yehuda. Maka Baesa menggantikan Raja Nadab sebagai raja Israel.
29. Sebaik sahaja Baesa menjadi raja, Baesa mula membunuh semua anggota keluarga Raja Yerobeam. Sebagaimana yang difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya, Nabi Ahia dari Silo, semua anggota keluarga Raja Yerobeam dibunuh; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.
30. Hal itu berlaku kerana Raja Yerobeam membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel; Raja Yerobeam telah berdosa, dan baginda juga menyebabkan umat Israel berdosa.
31. Segala perbuatan Raja Nadab tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.