7. Pergilah beritahu Raja Yerobeam bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel kepada baginda, ‘Aku memilih engkau antara rakyat, dan Aku menjadikan engkau raja umat-Ku Israel.
8. Aku mengambil kerajaan Daud daripada keturunannya dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud. Dia setia kepada-Ku dan taat kepada perintah-Ku. Dia hanya melakukan apa yang Aku kehendaki.
9. Dosamu lebih besar daripada orang yang memerintah sebelum engkau. Engkau telah menolak Aku. Engkau membangkitkan kemurkaan-Ku apabila engkau membuat berhala dan patung daripada logam.
10. Oleh sebab itu Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keturunanmu. Aku akan membunuh semua keturunanmu yang lelaki, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan melenyapkan keluargamu. Mereka akan disapu habis seperti najis.
11. Semua anggota keluargamu yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ”
12. Ahia meneruskan lagi kata-katanya kepada isteri Raja Yerobeam, “Sekarang, pulanglah. Secepat sahaja tuanku masuk ke kota, putera tuanku akan mangkat.
13. Segenap umat Israel akan meratapi dan memakamkan putera raja. Putera itulah satu-satunya anggota keluarga Raja Yerobeam yang akan dimakamkan secara terhormat, kerana putera itu sahaja yang diperkenankan TUHAN, Allah Israel.
14. TUHAN akan melantik seorang raja bagi Israel, dan raja itu akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam, mulai sekarang juga.
15. TUHAN akan menghukum umat Israel sehingga mereka tergoyang-goyang seperti gelagah di dalam air. TUHAN akan mencabut umat Israel dari tanah yang baik ini, yang diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Dia akan menghamburkan mereka di seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya ketika mereka membuat patung Dewi Asyera.
16. TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.”
17. Kemudian isteri Raja Yerobeam kembali ke Tirza. Tepat pada saat isteri raja itu masuk ke rumahnya, putera raja mangkat.
18. Umat Israel meratapi dan memakamkan putera itu seperti firman TUHAN yang disampaikan oleh hamba-Nya, Nabi Ahia.
19. Segala perbuatan Raja Yerobeam, peperangan yang dimenanginya dan pemerintahannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
20. Raja Yerobeam memerintah sebagai raja selama dua puluh dua tahun. Setelah baginda mangkat dan dimakamkan, Nadab, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja.