1 Raja-Raja 14:11-30 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Semua anggota keluargamu yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ”

12. Ahia meneruskan lagi kata-katanya kepada isteri Raja Yerobeam, “Sekarang, pulanglah. Secepat sahaja tuanku masuk ke kota, putera tuanku akan mangkat.

13. Segenap umat Israel akan meratapi dan memakamkan putera raja. Putera itulah satu-satunya anggota keluarga Raja Yerobeam yang akan dimakamkan secara terhormat, kerana putera itu sahaja yang diperkenankan TUHAN, Allah Israel.

14. TUHAN akan melantik seorang raja bagi Israel, dan raja itu akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam, mulai sekarang juga.

15. TUHAN akan menghukum umat Israel sehingga mereka tergoyang-goyang seperti gelagah di dalam air. TUHAN akan mencabut umat Israel dari tanah yang baik ini, yang diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Dia akan menghamburkan mereka di seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya ketika mereka membuat patung Dewi Asyera.

16. TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.”

17. Kemudian isteri Raja Yerobeam kembali ke Tirza. Tepat pada saat isteri raja itu masuk ke rumahnya, putera raja mangkat.

18. Umat Israel meratapi dan memakamkan putera itu seperti firman TUHAN yang disampaikan oleh hamba-Nya, Nabi Ahia.

19. Segala perbuatan Raja Yerobeam, peperangan yang dimenanginya dan pemerintahannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

20. Raja Yerobeam memerintah sebagai raja selama dua puluh dua tahun. Setelah baginda mangkat dan dimakamkan, Nadab, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja.

21. Raja Rehabeam putera Raja Salomo berusia empat puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Raja Rehabeam memerintah selama tujuh belas tahun di Yerusalem, kota yang dipilih oleh TUHAN di antara seluruh kawasan Israel sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Bonda Raja Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Amon.

22. Penduduk Yehuda berdosa terhadap TUHAN. Perbuatan mereka lebih membangkitkan kemurkaan TUHAN daripada segala perbuatan nenek moyang mereka.

23. Mereka membina tempat-tempat penyembahan dewa dan mendirikan tiang-tiang berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera untuk disembah di bukit-bukit dan di bawah pokok-pokok besar.

24. Di tempat-tempat itu mereka melakukan pelacuran sebagai penyembahan kepada dewa. Bahkan ada orang lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat itu sebagai pelacur. Penduduk Yehuda melakukan semua perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir TUHAN dahulu, ketika umat Israel menduduki negeri itu.

25. Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem.

26. Raja Sisak merampas semua harta di Rumah TUHAN dan di istana, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo.

27. Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua itu kepada para pegawai yang mengawal pintu-pintu gerbang istana.

28. Tiap-tiap kali raja masuk ke Rumah TUHAN, para pengawal mengangkat perisai-perisai itu, dan selepas itu, mereka mengembalikan semuanya ke bilik pengawal.

29. Segala perbuatan Raja Rehabeam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

30. Raja Rehabeam dan Raja Yerobeam sentiasa berperang selama pemerintahan Raja Rehabeam.

1 Raja-Raja 14