1. Pada masa itu, Abia, putera Raja Yerobeam jatuh sakit.
2. Raja Yerobeam bertitah kepada isterinya, “Menyamarlah supaya tiada sesiapa pun mengenali engkau. Pergilah ke Silo, tempat tinggal Ahia, nabi yang bernubuat bahawa aku akan menjadi raja Israel.
3. Bawalah untuknya sepuluh buku roti, beberapa ketul kuih, dan sebotol madu. Tanyalah dia apa yang akan terjadi kepada anak kita. Dia akan memberitahu engkau.”
4. Maka isteri Raja Yerobeam pergi ke rumah Ahia di Silo. Ahia tidak dapat melihat lagi kerana sudah lanjut usia.
5. TUHAN telah memberitahu Ahia bahawa isteri Raja Yerobeam akan datang untuk bertanya kepadanya tentang puteranya yang sakit. TUHAN telah memberitahu dia apa yang harus dikatakannya.Apabila isteri Raja Yerobeam tiba, dia berpura-pura menjadi orang lain.
6. Tetapi apabila Ahia mendengar dia datang di pintu, Ahia berkata, “Sila masuk. Hamba tahu bahawa tuanku ialah isteri Raja Yerobeam. Mengapa berpura-pura menjadi orang lain? Hamba ada berita buruk untuk tuanku.
7. Pergilah beritahu Raja Yerobeam bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel kepada baginda, ‘Aku memilih engkau antara rakyat, dan Aku menjadikan engkau raja umat-Ku Israel.
8. Aku mengambil kerajaan Daud daripada keturunannya dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud. Dia setia kepada-Ku dan taat kepada perintah-Ku. Dia hanya melakukan apa yang Aku kehendaki.
9. Dosamu lebih besar daripada orang yang memerintah sebelum engkau. Engkau telah menolak Aku. Engkau membangkitkan kemurkaan-Ku apabila engkau membuat berhala dan patung daripada logam.
10. Oleh sebab itu Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keturunanmu. Aku akan membunuh semua keturunanmu yang lelaki, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan melenyapkan keluargamu. Mereka akan disapu habis seperti najis.
11. Semua anggota keluargamu yang mati di dalam kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan burung. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ”
12. Ahia meneruskan lagi kata-katanya kepada isteri Raja Yerobeam, “Sekarang, pulanglah. Secepat sahaja tuanku masuk ke kota, putera tuanku akan mangkat.
13. Segenap umat Israel akan meratapi dan memakamkan putera raja. Putera itulah satu-satunya anggota keluarga Raja Yerobeam yang akan dimakamkan secara terhormat, kerana putera itu sahaja yang diperkenankan TUHAN, Allah Israel.
14. TUHAN akan melantik seorang raja bagi Israel, dan raja itu akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam, mulai sekarang juga.
15. TUHAN akan menghukum umat Israel sehingga mereka tergoyang-goyang seperti gelagah di dalam air. TUHAN akan mencabut umat Israel dari tanah yang baik ini, yang diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Dia akan menghamburkan mereka di seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya ketika mereka membuat patung Dewi Asyera.
16. TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.”