1 Raja-Raja 13:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Pada masa itu, ada seorang nabi dari Yehuda. Dia disuruh oleh TUHAN untuk pergi ke Betel. Nabi itu tiba di sana ketika Raja Yerobeam berdiri di depan mazbah untuk mempersembahkan korban.

2. Atas perintah TUHAN, nabi itu mengecam mazbah di sana, katanya, “Hai mazbah, mazbah, demikianlah firman TUHAN: Seorang anak yang bernama Yosia akan dilahirkan dalam keluarga Raja Daud. Di atasmu, hai mazbah, dia akan menyembelih imam-imam yang bertugas di tempat penyembahan berhala, dan yang mempersembahkan korban di atasmu. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.”

3. Nabi itu meneruskan lagi, “Mazbah ini akan roboh, dan abu yang ada di atasnya akan bertaburan. Itulah buktinya bahawa TUHAN telah berfirman melalui aku.”

4. Apabila Raja Yerobeam mendengar hal itu, baginda bertitah sambil menunjuk nabi itu, “Tangkap dia!” Ketika itu juga lengan raja menjadi kejang sehingga baginda tidak dapat menariknya semula.

5. Mazbah itu tiba-tiba roboh dan abunya bertaburan di tanah, seperti yang dinubuatkan oleh nabi itu atas nama TUHAN.

6. Raja Yerobeam bertitah kepada nabi itu, “Tolonglah berdoa kepada TUHAN, Allahmu untuk beta, dan mintalah supaya Dia menyembuhkan lengan beta!”Nabi itu berdoa kepada TUHAN, maka lengan raja disembuhkan.

7. Lalu raja bertitah kepada nabi itu, “Marilah makan di rumah beta. Beta akan menghadiahi kamu bagi jasamu itu.”

8. Nabi itu menjawab. “Walaupun tuanku memberi hamba separuh daripada harta tuanku, hamba tidak akan ikut tuanku, atau makan minum bersama-sama tuanku.

9. TUHAN telah memerintah hamba supaya tidak makan atau minum apa pun dan tidak pulang mengikut jalan hamba datang dahulu.”

10. Demikianlah nabi itu tidak pulang mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi mengambil jalan yang lain.

11. Pada masa itu, ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknya datang memberitahu dia apa yang telah dibuat oleh nabi dari Yehuda pada hari itu di Betel, dan apa yang telah dikatakannya kepada Raja Yerobeam.

12. Nabi tua itu bertanya kepada anak-anaknya, “Nabi dari Yehuda itu mengambil jalan yang mana ketika dia pulang?” Mereka menunjukkan jalan yang diikuti nabi itu kepadanya.

13. Nabi tua itu menyuruh anak-anaknya memasang pelana pada keldainya. Setelah mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu

14. lalu mengejar nabi dari Yehuda itu. Kemudian dia menjumpai nabi itu sedang duduk di bawah sepohon pokok besar. Nabi tua itu bertanya kepadanya, “Kamukah nabi dari Yehuda itu?”“Ya,” jawab nabi itu.

15. “Marilah pulang dan makan bersama-sama saya,” kata nabi tua itu.

1 Raja-Raja 13