1 Raja-Raja 12:18-26-27 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoniram, pengawas buruh paksa, pergi kepada orang Israel, tetapi mereka merejam dia sehingga mati. Oleh itu Raja Rehabeam tergesa-gesa melarikan diri ke Yerusalem dengan menaiki kereta kudanya.

19. Sejak itu, penduduk di bahagian utara kerajaan Israel sentiasa memberontak terhadap raja-raja keturunan Raja Daud.

20. Apabila umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah pulang dari Mesir, mereka menjemput dia ke satu perjumpaan rakyat, lalu melantik dia menjadi raja Israel. Hanya suku Yehuda yang tetap setia kepada keturunan Raja Daud.

21. Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Yehuda dan Benyamin. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara.

22. Tetapi Allah menyuruh Nabi Semaya

23. menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan segenap suku Yehuda dan Benyamin,

24. “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan serang orang Israel, saudara kamu sendiri. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.’ ” Mereka semua taat kepada perintah TUHAN lalu pulang ke rumah.

25. Raja Yerobeam, raja Israel, membina semula kota Sikhem di perbukitan Efraim dan tinggal di sana untuk sementara. Kemudian baginda meninggalkan tempat itu, dan membina pula kota Penuel.

26-27. Baginda berfikir, “Dalam keadaan sekarang ini, jika rakyat beta pergi ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN di Rumah TUHAN, kesetiaan mereka akan beralih kepada Raja Rehabeam di Yehuda, lalu mereka akan membunuh beta.”

1 Raja-Raja 12