1 Raja-Raja 11:28-43 Alkitab Berita Baik (BM)

28. Yerobeam seorang muda yang cekap, dan apabila Raja Salomo melihat betapa rajinnya Yerobeam bekerja, Raja Salomo memberi dia tugas sebagai pengawas semua orang rodi di wilayah suku Manasye dan Efraim.

29. Pada suatu hari, Yerobeam keluar dari Yerusalem. Di tengah jalan, Nabi Ahia dari Silo menemui Yerobeam; hanya mereka yang ada di padang.

30. Ahia menanggalkan jubah baru, yang sedang dipakainya, lalu mengoyak-ngoyaknya menjadi dua belas sobekan.

31. Ahia berkata kepada Yerobeam, “Ambillah sepuluh sobekan untukmu sendiri, kerana TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadamu, ‘Aku akan mengambil kerajaan Salomo daripadanya, dan memberikan sepuluh suku kepadamu.

32. Demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku dari seluruh tanah Israel, Salomo akan tetap memerintah satu suku.

33. Aku akan melakukan hal itu kerana Salomo telah menolak Aku dan menyembah dewa-dewa: Asytoret, dewi orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Molokh, dewa orang Amon. Salomo tidak mentaati Aku. Dia tidak seperti bapanya Daud yang taat kepada-Ku dan melaksanakan perintah-Ku.

34. Tetapi Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada Salomo. Aku akan membenarkan dia memerintah seumur hidupnya. Aku akan berbuat demikian demi hamba-Ku Daud, yang telah Kupilih dan yang taat kepada hukum serta perintah-Ku.

35. Aku akan mengambil kerajaan itu daripada putera Salomo dan memberikan sepuluh suku kepadamu.

36. Tetapi Aku akan membenarkan anak lelaki Salomo memerintah satu suku supaya Aku sentiasa mempunyai seorang daripada keturunan hamba-Ku Daud untuk memerintah Yerusalem, kota yang telah Kupilih sebagai tempat beribadat kepada-Ku.

37. Hai Yerobeam, Aku akan menjadikan engkau raja Israel. Engkau akan memerintah semua wilayah yang engkau kehendaki.

38. Jika engkau taat kepada-Ku dengan sepenuhnya, hidup menurut hukum-Ku, melaksanakan perintah-Ku, serta menyenangkan hati-Ku, seperti hamba-Ku Daud dahulu, Aku akan sentiasa menyertai engkau. Aku akan menjadikan engkau raja Israel dan Aku akan memastikan agar keturunanmu meneruskan kerajaanmu sebagaimana yang Aku lakukan bagi Daud.

39. Oleh sebab dosa Salomo, Aku akan menghukum keturunan Daud, tetapi tidak untuk selamanya.’ ”

40. Raja Salomo cuba membunuh Yerobeam apabila berita itu sampai kepada baginda, tetapi Yerobeam lari kepada Raja Sisak di Mesir, lalu tinggal di sana sehingga Raja Salomo mangkat.

41. Segala perbuatan Raja Salomo, tentang pemerintahan dan kebijaksanaannya sudah ditulis di dalam buku Sejarah Raja Salomo.

42. Raja Salomo menjadi raja di Yerusalem dan memerintah seluruh Israel selama empat puluh tahun.

43. Raja Salomo mangkat lalu dikebumikan di Kota Daud. Rehabeam, putera Raja Salomo menggantikan baginda sebagai raja.

1 Raja-Raja 11