13. Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripadanya; Aku akan memberi dia satu suku demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku.”
14. Oleh itu TUHAN menyebabkan Hadad, seorang daripada keluarga diraja negeri Edom, memusuhi Raja Salomo.
15-16. Lama sebelum itu, selepas Raja Daud mengalahkan Edom, Yoab, panglima tentera Raja Daud pergi ke sana untuk menguburkan askar-askarnya yang gugur. Yoab dan anak buahnya tinggal di Edom selama enam bulan. Pada masa itu mereka membunuh semua orang lelaki di Edom,
17. kecuali Hadad dan beberapa orang hamba bapanya, yang berbangsa Edom; mereka melarikan diri ke Mesir. (Ketika itu Hadad masih kanak-kanak.)
18. Beberapa orang Edom yang masih hidup itu meninggalkan Midian lalu pergi ke Paran. Di sana beberapa orang lagi bergabung dengan mereka, lalu mereka pergi ke Mesir dan menghadap raja negeri itu. Raja Mesir memberikan tanah, sebuah rumah, dan juga makanan kepada Hadad.
19. Kemudian Hadad menjadi sahabat baik raja Mesir, sehingga raja itu memberikan iparnya sendiri, iaitu adik Permaisuri Tahpenes, kepada Hadad sebagai isterinya.
20. Isteri Hadad melahirkan seorang anak lelaki yang diberikan nama Genubat. Genubat dibesarkan oleh Permaisuri Tahpenes di istana bersama dengan putera-putera raja yang lain.
21. Apabila Hadad mendengar bahawa Raja Daud telah mangkat dan Yoab panglima tenteranya pun telah meninggal, dia berkata kepada raja Mesir, “Benarkanlah hamba pulang ke negeri hamba sendiri.”
22. “Mengapa?” tanya raja. “Adakah beta telah mengecewakan kamu? Itukah sebabnya kamu hendak pulang?”“Benarkanlah hamba pulang,” jawab Hadad kepada raja. Kemudian Hadad pulang ke negerinya.Sebagai raja Edom, Raja Hadad menjadi musuh jahat dan sengit terhadap Israel.
23. Allah juga menyebabkan Rezon anak Elyada memusuhi Raja Salomo. Rezon telah lari daripada tuannya, Raja Hadadezer dari Zoba,
24. lalu dia menjadi pemimpin sekumpulan gerombolan. (Hal ini berlaku setelah Raja Daud mengalahkan Raja Hadadezer, dan membunuh tentera Siria yang menjadi sekutu Raja Hadadezer.) Rezon dan anak buahnya pergi ke Damsyik dan tinggal di situ. Di tempat itu anak buah Rezon melantik dia menjadi raja negeri Siria.
25. Raja Rezon menjadi musuh Israel semasa hidup Raja Salomo.
26. Seorang lagi yang memusuhi Raja Salomo ialah salah seorang pegawainya, Yerobeam anak Nebat dari Zereda di Efraim. Ibunya seorang balu bernama Zerua.
27. Beginilah kisah pemberontakannya.Raja Salomo sedang menambak tanah di sebelah timur Yerusalem dan membaiki tembok kota.
28. Yerobeam seorang muda yang cekap, dan apabila Raja Salomo melihat betapa rajinnya Yerobeam bekerja, Raja Salomo memberi dia tugas sebagai pengawas semua orang rodi di wilayah suku Manasye dan Efraim.
29. Pada suatu hari, Yerobeam keluar dari Yerusalem. Di tengah jalan, Nabi Ahia dari Silo menemui Yerobeam; hanya mereka yang ada di padang.