1. Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing. Selain puteri raja Mesir, baginda juga berkahwin dengan wanita Het, Moab, Amon, Edom, dan Sidon.
2. Raja Salomo masih juga berkahwin dengan mereka walaupun TUHAN telah melarang umat Israel berkahwin campur dengan bangsa-bangsa itu, kerana mereka akan menyebabkan umat Israel menyembah tuhan-tuhan lain.
3. Raja Salomo berkahwin dengan tujuh ratus orang puteri raja dan mempunyai tiga ratus orang gundik. Mereka menyebabkan Raja Salomo meninggalkan Allah,
4. sehingga mereka berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo setia kepada TUHAN, Allahnya, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya.
5. Raja Salomo menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon.
6. Raja Salomo berdosa terhadap TUHAN. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo taat kepada TUHAN dengan sepenuh hati, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya.
7. Di atas sebuah gunung di sebelah timur Yerusalem, Raja Salomo membina tempat pemujaan Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab. Dia membina tempat pemujaan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon.
8. Raja Salomo juga membina tempat-tempat bagi semua isterinya yang berbangsa asing untuk membakar kemenyan dan mempersembahkan korban kepada dewa mereka masing-masing.
11. TUHAN berfirman, “Oleh sebab engkau dengan sengaja telah melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan telah melanggar perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa Aku akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang pegawaimu.
12. Tetapi demi bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal ini semasa hidupmu, melainkan pada masa pemerintahan anakmu.
13. Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripadanya; Aku akan memberi dia satu suku demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku.”