1 Raja-Raja 10:14-15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan kepada Raja Salomo semua pertanyaan yang dapat difikirkannya.

3. Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo.

4. Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo.

5. Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan, dan para pelayan yang melayani Raja Salomo pada masa perayaan; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona.

6. Oleh itu ratu negeri Syeba bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku!

7. Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi apa yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuan lebih besar daripada apa yang telah beta dengar.

8. Berbahagialah isteri-isteri tuanku! Berbahagialah para pekerja yang sentiasa melayani tuanku, kerana mereka berpeluang mendengar kata-kata bijak yang tuanku ucapkan!

9. Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja Israel. Oleh sebab kasih-Nya kekal terhadap Israel, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka supaya tuanku dapat melaksanakan hukum dan keadilan.”

14-15. Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, keuntungan daripada perdagangan, ufti yang dibayar oleh raja-raja Arab dan para gabenor negeri Israel, Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas pada setiap tahun.

16. Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 7 kilogram emas.

17. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 2 kilogram emas. Raja Salomo meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.

18. Raja Salomo juga membuat sebuah takhta gading yang besar, yang dilapis dengan emas tulen.

19-20. Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu ada sebuah patung singa. Kesemuanya ada dua belas buah patung singa. Di belakang takhta itu ada sebuah patung kepala lembu jantan, dan pada setiap lengan takhta itu ada sebuah patung singa. Tiada kerajaan mana pun pernah mempunyai takhta seperti itu.

21. Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon dibuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali, kerana pada zaman Raja Salomo, perak tidak dianggap berharga.

22. Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak.

23. Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di dunia.

24. Semua orang di seluruh dunia ingin datang untuk mendengar kebijaksanaan yang telah dikurniakan Allah kepadanya.

25. Tiap-tiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah bagi baginda - barangan daripada perak dan emas, pakaian, senjata, rempah, kuda, serta baghal. Hal ini berlangsung tahun demi tahun.

26. Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkannya di berbagai-bagai kota lain.

27. Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak merupakan barangan biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar banyak seperti kayu ara di kaki-kaki bukit di Yehuda.

1 Raja-Raja 10