1 Raja-Raja 10:12-23 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat susuran bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi dan gambus bagi para pemuzik. Kayu cendana itu kayu cendana yang terbaik yang pernah dibawa ke Israel. Sejak itu, kayu cendana yang sebaik itu tidak pernah dilihat lagi.)

13. Selain daripada hadiah-hadiah yang biasa diberikan oleh Raja Salomo, raja juga memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Kemudian ratu itu dan semua pengiringnya pulang ke negeri Syeba.

14-15. Selain cukai yang dibayar oleh para pedagang, keuntungan daripada perdagangan, ufti yang dibayar oleh raja-raja Arab dan para gabenor negeri Israel, Raja Salomo menerima hampir 23,000 kilogram emas pada setiap tahun.

16. Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 7 kilogram emas.

17. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil daripada emas. Setiap perisai memerlukan kira-kira 2 kilogram emas. Raja Salomo meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.

18. Raja Salomo juga membuat sebuah takhta gading yang besar, yang dilapis dengan emas tulen.

19-20. Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu ada sebuah patung singa. Kesemuanya ada dua belas buah patung singa. Di belakang takhta itu ada sebuah patung kepala lembu jantan, dan pada setiap lengan takhta itu ada sebuah patung singa. Tiada kerajaan mana pun pernah mempunyai takhta seperti itu.

21. Semua cawan Raja Salomo dibuat daripada emas, dan semua perkakas di Dewan Hutan Lebanon dibuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali, kerana pada zaman Raja Salomo, perak tidak dianggap berharga.

22. Raja Salomo mempunyai banyak kapal besar yang belayar di samudera raya bersama dengan kapal-kapal Raja Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Raja Salomo pulang dengan membawa emas, perak, gading, beruk, dan burung merak.

23. Raja Salomo lebih kaya dan lebih bijaksana daripada raja lain di dunia.

1 Raja-Raja 10