1 Raja-Raja 1:19-35 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Dia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba, dan anak lembu yang gemuk sebagai korban, serta menjemput putera-putera tuanku, Imam Abyatar, dan Yoab, panglima tentera tuanku, ke jamuan itu, tetapi Adonia tidak menjemput Salomo, putera tuanku.

20. Sekarang segenap rakyat sedang menanti-nantikan titah tuanku tentang siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja.

21. Jika tuanku tidak memberikan keputusan itu, tentu segera sesudah tuanku mangkat, Salomo, putera hamba dan hamba akan dituduh sebagai pengkhianat.”

22. Sedang Batsyeba bercakap, Nabi Natan tiba di istana.

23. Raja Daud diberitahu tentang kedatangan Nabi Natan, lalu Nabi Natan masuk dan bersujud di hadapan raja.

24. Nabi Natan berkata kepada raja, “Adakah tuanku telah bertitah bahawa Adonia akan menggantikan tuanku sebagai raja?

25. Pada hari ini Adonia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba dan anak lembu yang digemukkan sebagai korban. Dia menjemput semua putera tuanku, Yoab panglima tentera tuanku, dan Imam Abyatar. Pada masa ini mereka sedang berpesta bersama-sama Adonia sambil bersorak, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’

26. Tetapi Adonia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, dan Salomo.

27. Adakah tuanku yang memperkenankan Adonia melakukan semua itu tanpa memberitahu para pegawai tuanku siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja?”

28. Raja Daud bertitah, “Suruhlah Batsyeba masuk dan menghadap semula.” Batsyeba masuk dan berdiri di hadapan raja.

29. Raja bertitah kepadanya, “Beta berjanji demi TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala kesusahan,

30. bahawa pada hari ini beta akan menepati janji beta kepadamu demi nama TUHAN, Allah Israel, bahawa puteramu Salomo akan menggantikan beta sebagai raja.”

31. Batsyeba bersujud dan berkata, “Daulat, tuanku!”

32. Kemudian Raja Daud memanggil Zadok, Natan, dan Benaya. Apabila mereka menghadap,

33. Raja Daud bertitah kepada mereka, “Bawalah Salomo, putera beta, ke mata air di Gihon. Biarlah dia menunggangi baghal beta dan bawalah bersama-sama kamu para pegawai istana.

34. Di sana hendaklah Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja Israel. Selepas itu tiuplah trompet dan bersoraklah, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’

35. Iringilah dia kembali ke sini supaya dia menduduki takhta beta. Dia akan menggantikan beta sebagai raja kerana dialah yang telah beta pilih untuk menjadi penguasa di Israel dan Yehuda.”

1 Raja-Raja 1