1. Kerana Kristus sudah menanggung penderitaan secara jasmani, kamu juga mesti menguatkan diri dengan pendirian seperti itu. Hal ini demikian kerana sesiapa yang menanggung penderitaan secara jasmani, tidak lagi berbuat dosa.
2. Oleh itu, selama kamu hidup di dunia ini, kamu mesti dikuasai oleh kehendak Allah dan bukan oleh keinginan manusia.
3. Pada masa lampau, kamu sudah cukup lama melakukan apa yang suka dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Hidup kamu tidak senonoh. Kamu menuruti hawa nafsu, bersifat pemabuk, berpesta liar, minum minuman keras dengan berlebih-lebihan, dan menyembah berhala yang menjijikkan.
4. Sekarang orang yang tidak mengenal Allah hairan apabila kamu tidak mengikut cara hidup mereka yang jahat itu. Itulah sebabnya mereka menghina kamu.
5. Tetapi mereka harus mempertanggungjawabkan hidup mereka kepada Allah yang siap menghakimi orang hidup dan orang mati.
6. Itulah sebabnya Berita Baik sudah diisytiharkan juga kepada orang mati, supaya mereka yang telah diadili dalam keadaan jasmani - seperti halnya semua orang akan diadili - dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.
7. Tidak lama lagi segala sesuatu akan berakhir. Oleh itu, kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa.
8. Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni.
9. Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut.
10. Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang.
11. Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus. Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.