1 Petrus 1:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Surat ini daripada Petrus, rasul Yesus Kristus dan ditujukan kepada umat pilihan Allah, yang tinggal sebagai orang pelarian yang tercerai-cerai di seluruh daerah Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia.

2. Kamu dipilih sesuai dengan rancangan Allah Bapa, dan dijadikan umat-Nya yang suci oleh Roh Allah, supaya kamu taat kepada Yesus Kristus dan disucikan oleh darah-Nya.Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan dengan berlimpah-limpah.

3. Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita.

4. Oleh itu, kita berharap untuk memiliki berkat-berkat yang disediakan oleh Allah bagi umat-Nya. Berkat-berkat itu disimpan-Nya di syurga, supaya tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah.

5. Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Allah. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Allah supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman.

6. Oleh itu hendaklah kamu bersukacita, meskipun sekarang mungkin kamu harus berdukacita untuk sementara waktu kerana mengalami berbagai-bagai cubaan.

7. Semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada kamu sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan atau tidak. Emas yang dapat rosak pun diuji dengan api. Oleh itu, iman kamu yang lebih berharga daripada emas pun harus diuji, supaya menjadi teguh. Dengan demikian, apabila Yesus Kristus datang kembali, kamu akan menerima pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Allah.

8. Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata.

9. Hal itu demikian kerana kamu menerima penyelamatan jiwa kamu, iaitu tujuan kepercayaan kamu kepada Kristus.

10. Penyelamatan inilah yang dikaji dan diselidiki oleh para nabi, dan mereka bernubuat tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu.

11. Roh Kristus ada pada diri para nabi, dan Roh itu bernubuat tentang penderitaan yang harus ditanggung oleh Kristus, dan tentang kemuliaan-Nya yang akan menyusul. Para nabi berusaha mengetahui masa dan bagaimana hal itu akan berlaku.

12. Allah memberitahu nabi-nabi itu bahawa apa yang dilakukan mereka bukanlah untuk kepentingan mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan kamu. Perkara-perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu, sekarang telah kamu dengar daripada mereka yang menyampaikan Berita Baik itu. Mereka mengisytiharkannya kepada kamu dengan kuasa Roh Allah yang dikirim dari syurga. Bahkan malaikat-malaikat pun ingin memahami semua perkara itu.

1 Petrus 1