1 Korintus 9:8-25 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Semua contoh yang aku gunakan, diambil daripada pengalaman sehari-hari, tetapi Taurat pun mengemukakan hal yang sama.

9. Di dalam Taurat Musa tertulis, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian.” Tentunya Allah tidak memberikan perhatian kepada lembu sahaja.

10. Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah, ketika Dia berfirman demikian? Memang perintah itu tertulis untuk kita. Orang yang membajak tanah dan orang yang menuai tuaian sudah selayaknya bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian itu.

11. Kami sudah menabur benih rohani dalam hidup kamu. Oleh itu sudah sewajarnya jika kami menuai sedikit berkat kebendaan daripada kamu.

12. Jika orang lain berhak mengharapkannya daripada kamu, bukankah kami lebih berhak daripada mereka?Tetapi kami belum menggunakan hak itu. Sebaliknya kami lebih suka menanggung segala sesuatu, supaya kami tidak menghalangi penyebaran Berita Baik tentang Kristus.

13. Tentu kamu tahu bahawa orang yang bekerja di dalam Rumah Tuhan menerima makanan mereka dari Rumah Tuhan. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah, menerima sebahagian daripada korban itu.

14. Demikian juga Tuhan sudah menentukan bahawa orang yang mengkhabarkan Berita Baik menerima nafkah daripada kerja mengkhabarkan Berita Baik.

15. Tetapi aku belum pernah menggunakan satu pun daripada hak-hak itu. Aku pun menulis surat ini bukan untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku sendiri. Lebih baik aku mati daripada kehilangan apa yang aku banggakan.

16. Aku tidak berhak membanggakan diri, kerana aku mengkhabarkan Berita Baik. Kerja mengkhabarkan Berita Baik adalah perintah Allah bagiku. Malanglah aku, jika aku tidak mengkhabarkan Berita Baik itu.

17. Jika aku melakukan kerja itu menurut kehendakku sendiri, maka aku boleh mengharapkan upah. Tetapi aku mengkhabarkan Berita Baik sebagai suatu kewajipan, kerana Allah sudah menugaskan aku melakukan kerja itu.

18. Maka apakah upahku? Inilah upahku: Aku mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Berita Baik tanpa meminta bayaran, dan tanpa menuntut hakku sebagai orang yang mengkhabarkan Berita Baik.

19. Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus.

20. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus.

21. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus.

22. Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka.

23. Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga.

24. Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu.

25. Setiap ahli sukan yang sedang menjalani latihan harus mematuhi disiplin yang ketat. Dia melakukannya kerana dia ingin mendapat hadiah kejuaraan, walaupun hadiah itu akan rosak. Kita pun seperti ahli sukan yang mematuhi disiplin yang ketat supaya mendapat hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak.

1 Korintus 9