1 Korintus 9:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Bukankah aku orang bebas? Bukankah aku rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus Tuhan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan?

2. Meskipun orang lain tidak mahu mengakui aku sebagai rasul, tentu kamu mahu mengakuinya! Kerana kamu hidup bersatu dengan Tuhan, hal ini membuktikan bahawa aku seorang rasul.

3. Apabila orang mencela aku, inilah jawapanku:

4. Adakah kami tidak berhak menerima makanan dan minuman bagi kerja kami?

5. Adakah kami tidak berhak membawa isteri Kristian dalam perjalanan, seperti yang dilakukan oleh saudara-saudara Tuhan Yesus dan oleh rasul-rasul lain, termasuk Petrus?

6. Adakah hanya Barnabas dan aku yang harus mencari nafkah sendiri?

7. Tidak ada askar yang membiayai diri sendiri dalam angkatan perang. Tidak ada peladang yang tidak makan buah anggur dari kebun sendiri. Tidak ada gembala yang tidak minum susu daripada domba mereka.

8. Semua contoh yang aku gunakan, diambil daripada pengalaman sehari-hari, tetapi Taurat pun mengemukakan hal yang sama.

9. Di dalam Taurat Musa tertulis, “Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian.” Tentunya Allah tidak memberikan perhatian kepada lembu sahaja.

10. Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah, ketika Dia berfirman demikian? Memang perintah itu tertulis untuk kita. Orang yang membajak tanah dan orang yang menuai tuaian sudah selayaknya bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian itu.

11. Kami sudah menabur benih rohani dalam hidup kamu. Oleh itu sudah sewajarnya jika kami menuai sedikit berkat kebendaan daripada kamu.

12. Jika orang lain berhak mengharapkannya daripada kamu, bukankah kami lebih berhak daripada mereka?Tetapi kami belum menggunakan hak itu. Sebaliknya kami lebih suka menanggung segala sesuatu, supaya kami tidak menghalangi penyebaran Berita Baik tentang Kristus.

1 Korintus 9