1 Korintus 7:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan setiap wanita mempunyai suami masing-masing.

3. Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain.

4. Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya.

5. Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.

6. Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat.

7. Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu.

8. Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku: Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku.

1 Korintus 7