1 Korintus 7:18-34 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat.

19. Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah.

20. Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu.

21. Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu.

22. Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus.

23. Allah sudah membeli kamu dan membayar harganya dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia.

24. Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah.

25. Aku tidak menerima perintah daripada Tuhan tentang orang yang belum berkahwin. Tetapi biarlah aku menasihati kamu, kerana oleh belas kasihan Tuhan, aku patut dipercayai.

26. Memandangkan segala kesusahan yang mengancam sekarang ini, aku berpendapat lebih baik seorang lelaki hidup dalam keadaannya seperti sekarang.

27. Jika kamu sudah beristeri, janganlah cuba ceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, janganlah berkahwin.

28. Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu.

29. Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri;

30. orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli;

31. orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap.

32. Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan.

33. Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya.

34. Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya.

1 Korintus 7