3. Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab.
4. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.
5. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul.
6. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal.
7. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul.
8. Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya.
9. Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah.
10. Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku.
11. Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya.
12. Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan?
13. Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan.
14. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka.
15. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian.
16. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan.
17. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa.
18. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan.