29. Bagaimana halnya dengan mereka yang dibaptis untuk orang mati? Apakah yang diharapkan oleh mereka? Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati?
30. Jika tidak ada kebangkitan daripada kematian, mengapa kami mahu menghadapi bahaya setiap saat?
31. Saudara-saudaraku, setiap hari aku menghadapi maut! Aku berkata demikian kerana aku bangga akan kamu, dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan kita.
32. Dari segi kemanusiaan, apa gunanya berjuang seolah-olah melawan binatang buas di kota Efesus ini? Jika memang orang mati tidak dihidupkan semula, maka lebih baik kita hidup seperti pepatah ini, “Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.”
33. Janganlah kamu tertipu! “Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.”
34. Hendaklah kamu insaf dan jangan berdosa lagi. Kamu seharusnya malu, kerana beberapa orang antara kamu masih belum mengenal Allah.
35. Mungkin orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?”
36. Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu.
37. Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata - mungkin benih gandum ataupun benih lain - bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak.
38. Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri.
39. Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza.
40. Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi.