5. Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan.
6. Saudara-saudaraku, seandainya aku datang kepada kamu dan berkata-kata dalam bahasa-bahasa yang ajaib, apakah faedahnya bagi kamu? Tentu tidak ada faedahnya sama sekali! Lain halnya jika aku menyampaikan suatu kenyataan daripada Allah, atau menjelaskan sesuatu tentang Allah, atau menyampaikan berita daripada Allah, ataupun mengajar.
7. Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan?
8. Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang?
9. Demikian juga, siapakah yang akan memahami apa yang kamu katakan, jika perkhabaran yang kamu sampaikan dalam bahasa yang ajaib itu tidak jelas? Kata-kata kamu itu sia-sia.
10. Banyak bahasa di dunia ini, tetapi semuanya bermakna.
11. Jika aku tidak memahami bahasa yang digunakan seseorang, maka orang itu menjadi seperti orang asing kepadaku; begitu juga aku kepada dia.
12. Aku tahu bahawa kamu ingin sekali menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah. Tetapi yang terutama, kamu harus berusaha untuk menggunakan kurnia-kurnia yang dapat meneguhkan jemaah.
13. Seseorang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, harus berdoa supaya Allah juga menganugerahi dia kurnia untuk menerangkan apa yang dikatakannya itu.
14. Jika aku berdoa dalam bahasa yang ajaib, rohku memang berdoa, tetapi fikiranku tidak terlibat.
15. Jika demikian, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan rohku, tetapi aku akan berdoa dengan fikiranku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku, tetapi aku akan menyanyi dengan fikiranku juga.
16. Jika kamu mengucap syukur kepada Allah dengan rohmu sahaja, orang lain dalam pertemuan itu tidak dapat berkata ‘Amin’ atau ‘Aku bersetuju’, apabila kamu selesai berdoa. Dia tidak memahami apa yang kamu katakan.
17. Meskipun doa kesyukuranmu itu baik, tetapi kamu tidak meneguhkan orang lain.
18. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku lebih sering bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib daripada kamu semua.
19. Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas.