20. Pada waktu kamu berhimpun, sebenarnya yang kamu makan bukannya Perjamuan Tuhan.
21. Hal itu demikian kerana pada waktu makan, setiap orang berebut makanan, sehingga ada yang tidak mendapat makanan dan ada pula yang menjadi mabuk.
22. Tidakkah kamu mempunyai rumah sendiri, tempat kamu boleh makan minum? Ataukah kamu mahu menghina jemaah Allah dan mempermalukan orang miskin? Apakah yang harus aku katakan kepada kamu? Haruskah aku memuji kamu? Tentu tidak! Aku tidak memuji kamu.
23. Aku berkata demikian kerana ajaran yang aku berikan kepada kamu, aku terima daripada Tuhan: Pada malam itu ketika Tuhan Yesus dikhianati, Dia mengambil roti,
24. mengucap syukur kepada Allah, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.”
25. Begitu juga setelah habis makan, Dia mengambil cawan itu lalu berkata, “Cawan ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.”
26. Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan, sehingga Dia datang.
27. Dengan demikian sesiapa makan roti Tuhan atau minum dari cawan-Nya dengan cara yang tidak menghormati Dia, orang itu berdosa terhadap tubuh dan darah Tuhan.
28. Oleh itu setiap orang harus memeriksa diri lebih dahulu, barulah dia boleh makan roti itu dan minum dari cawan itu.
29. Hal itu demikian, kerana sesiapa makan roti dan minum dari cawan itu dengan tidak mengerti bahawa perjamuan itu berkenaan dengan tubuh Tuhan, orang itu akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri.
30. Itulah sebabnya banyak antara kamu yang sakit dan lemah, dan ada juga yang mati.
31. Jika kita memeriksa diri kita lebih dahulu, kita tidak akan dihukum oleh Allah.
32. Tetapi jika kita diadili dan dihukum oleh Tuhan, Dia melakukannya supaya kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini.
33. Oleh itu, saudara-saudaraku, jika kamu berhimpun untuk makan Perjamuan Tuhan, kamu harus saling menunggu.